Sunday, December 19, 2010

"18 Disember 2010".

Pada keseluruhan hari tersebut, keriangan memenuhi ruangan hati. Senyuman terukir dengan mudahnya sepanjang hari selepas mendapat kebenaran untuk merasai suasana di halaman rumah sekali lagi setelah sekian lama merantau meninggalkan tanah besar. Melihat dari perspektif hitungan ilmu hisab, barangkali 3 bulan bukanlah tempoh yang panjang. Namun begitu, dari segi longgokan perasaan yang bertadah di sanubari, sudah sangat lama sebenarnya tempat kelahiran ditinggalkan. Jikalau ditanya, apakah aktiviti yang ingin dilakukan di rumah?, maka ini jawapannya, meraikan perayaan Winter Solstice yang jatuh pada tanggal 22 Disember (setiap tahun). Pada hari tersebut, sajian bebola yang diperbuat daripada tepung pulut tang yuan akan disediakan. Sudah lama sebenarnya, insan ini tidak berpeluang merasai sajian wajib ini pada hari yang datang dengan keunikan ceritanya dan yang penuh dengan maknanya. Menurut sumber maklumat daripada insan mulia yang melahirkan pencoret ruangan ini, jikalau perbandingan ingin dilakukan, perayaan ini adalah lebih besar daripada Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, bagi penulis ini yang mempunyai pengetahuan cetek dalam isu perayaan-perayaan kaum Cina, perkara yang paling penting ialah pertemuan dengan setiap ahli keluarga menjelang musim perayaan. Seterusnya, kualiti pertemuan tersebut harus dijaga dan dijamin. Selain daripada ahli keluarga, peti televisyen juga amat dirindui. Dengan itu, matlamat kedua ialah tontonan cerita-cerita menarik yang bakal dipaparkan menjelang Hari Natal. Sekiranya dahulu begitu terhibur dengannya, maka diharapkan implikasinya tetap serupa walaupun sudah memasuki alam perkembangan manusia yang seterusnya.

Sebentar lagi, bas yang bergerak pada pukul 2 petang akan membawa insan ini kembali ke tanah besar. Selamat bercuti kepada semua. =]

Tuesday, December 14, 2010

Sudah memasuki bulan terakhir tahun 2010. Matahari boleh menampakkan diri 18 kali lagi, secara maksimum. Tinggal lagi satu semester setelah dua lagi semester telah ditamatkan di USM pada tahun ini. Jikalau ingin dihitung tempoh masa yang diluangkan di rumah, tidaklah ia menjangkau satu setengah bulan. Rata-rata di bumi USM si insan kerdil ini bertapak, mencari pengetahuan dan pengalaman, di samping membina persaudaraan melalui persahabatan yang dipandang enteng. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai maklum balas dapat dilaporkan dengan semaian usaha selama ini. Tetapi, ia tertakluk kepada kesesuaian fakta dan kesudian minda untuk berbuat demikian.

Pada pagi Sabtu (11/12/2010) yang lalu, pelan kehidupan tidaklah seperti yang telah dirancang. Kehilangan peluang untuk menawan Taman Perbandaran Pulau Pinang dan melihat kelangsungan Pesta Bunga dan Pesta Dragon Boat Race di lokasi-lokasi yang berdekatan. Puncanya ialah ketidaksatuan minda, badan dan jiwa yang mutlak. Peluang diharapkan masih ada pada masa hadapan.

Keamatan cahaya matlamat utama penambatan diri di sini, yakni untuk menyiapkan bahagian pertama projek tahun akhir, masih kelam. Keputusan yang diperoleh dengan menggunakan mesin polalografi kegunaan umum kurang memuaskan. Pelbagai masalah, iaitu masalah masa, teknikal dan peralatan timbul. Secara formal, dua slot masa sahaja, hari Isnin (waktu petang) dan Jumaat (sehari), yang boleh diisi setiap minggu. Sambungan wayar dengan klip buaya sudah lama dan kurang efisien. Kadang kala, sistem tidak tersambung dengan sempurna dan tiada tindak balas yang dapat dilihat. Tambahan, sejarah tercipta dengan sendirinya apabila pemangkin pada elektrod yang digunakan larut dalam larutan menyebabkan ketidaktepatan pencapaian keputusan. Justeru itu, akhirnya, penggunaan mesin polalografi khas untuk eksperimen kajian pelajar PhD disyorkan oleh penyelia. Maka, semalam, eksperimen telah diulang dan keputusannya telah dihantar kepada penyelia untuk disemak. Menurutnya, mulai minggu depan, mesin tersebut boleh digunakan setiap hari pada waktu pagi. Pengorbanan masa cuti semester di sini diharapkan dapat menguntumkan senyuman pada akhir projek.

Saturday, November 20, 2010

Jauhi tabiat mengabaikan noktah,

bernoktah-noktah minta dinoktahkan,

biar hanya satu noktah mengakhiri ayat.

Wednesday, November 10, 2010

Pagi ini saya mencuba nasib untuk menaiki bas ke dewan peperiksaan. Nasib agak baik kerana adanya sebuah bas bertanda laluan merah di tempat menunggu berdekatan Foyer DK U. Maka, saya menaiki bas tersebut setelah pemandu bas menekan butang untuk membuka pintu bas. Tiada penumpang lain di dalam bas tersebut melainkan saya sendiri. Pemandu bas bertanya kepada saya,

"Exam pukul berapa?"

"Pukul 9"

"OK jom..."

Kemudiannya, pemandu bas mula memandu bas mengikut tetapan laluannya. Destinasi terakhir ialah jejantas RST. Namun, alangkah terkesimanya saya apabila dia menurunkan saya betul-betul di hadapan bangunan Dewan Peperiksaan. Saya tidak perlu berjalan dari jejantas RST ke bangunan tersebut yang mengambil masa lebih kurang 2 minit.

"Ada sepuluh minit lagi", katanya apabila saya ingin turun dari bas.

"Terima Kasih". Dengan senyuman lebar dan hati yang girang, saya turun dari bas dan menuju ke dewan peperiksaan.

Secara jujurnya, saya terkejut sedikit dengan situasi ini yang jarang-jarang kali berlaku. Tetapi, saya teruja dengan keramahan yang ditunjukkan. Secara tuntasnya, hati saya riang sahaja hari ini kerana wujudnya sokongan moral tidak langsung ini daripada seorang pemandu bas, lebih-lebih lagi dalam musim peperiksaan akhir semester.

TERIMA KASIH, ENCIK...!!!

Sunday, November 7, 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan Akhir Semester 1
Sidang Akademik 2010/2011.


datang dengan harapan, pulang dengan kejayaan..


All the Best and Good Luck...!!!!

Friday, November 5, 2010

Selamat Hari Deepavali kepada seluruh warga Hindu di serata dunia, dan secara khasnya kepada mereka yang dikenali. Moga-moga kemeriahan sambutan pada tahun ini melebihi tahun-tahun sudah dengan pelbagai amalan tradisi yang penuh bermakna buat generasi muda dan kaum manusia lain. Di bawah kelipan bintang-bintang di langit, berhimpun sanak saudara menyalakan pelita di halaman rumah. Menghayati cerita di sebalik perayaan tahunan ini secara eksplisit dan implisit. Miliki hari penuh bermakna dan raikannya dengan gembira dan bahagia.
=D

Wednesday, November 3, 2010

***
berkelip-kelip burung gergasi itu melepaskan diri,
meluncur laju dan tinggi,
bebas.... tanpa had dan sempadan,
setidak-tidaknya sebelum menjejakkan kaki.

siang tiada mentari,
malam tiada rembulan,
gantian siang dan malam,
tarian pepohon mengasyikkan,
arakan awan kumulonimbus,
dengan rintikan hujan,
bersama rintihan insan.

***

Tuesday, September 21, 2010

Lagi seorang kawan sepersekolahan dahulu sudah memiliki ikatan gegelung kecil iaitu sebentuk cincin perkahwinan yang menjanjikan kebahagian seumur hidup. Masa memang berlalu dengan pantas walaupun kelihatan jarum saat berdetik lambat secara konsisten. Tik! Tik! Tik!... Dalam kesibukan merencahi kehidupan ini, tidak mampu sebenarnya kita menghitung detikan demi detikan saat yang saya kira sangat mahal dan bermakna. Tanpa mengendahkan perkara yang kita sedang lakukan atau usahakan, jarum saat terus jua berdetik tanpa henti.

Lagi, seorang guru bekas sekolah menengah meninggal dunia. Menurut berita yang diterima, puncanya pneumonia atau paru-paru berair. Arwah seorang guru BI yang sangat berpengalaman dan terkenal dengan cerita Londonnya. Secara jujurnya, mengikuti kelas arwah dulu banyak membantu dalam pembelajaran BI saya. Terima kasih dan semoga bersemadi dengan aman.

Lagi lang beberapa masa , imbasan kembali menyingkap sejarah kehidupan. Merasai kemanisan yang pernah dikecapi. Tanpa sedar, senyuman boleh terukir dengan sendiri. Kalau kepahitan, sama coraknya, malah boleh menggangu ketenteraman minda. Apakah belum benar-benar boleh melepaskan segala-galanya, walaupun sudah didedahkan dengan pelbagai kata-kata yang membina? Teruskan mencuba....

Saturday, July 31, 2010

ConvEx '10

Beberapa hari yang lepas, saya sibuk dengan persediaan Ekspo Konvokesyen USM yang akan diadakan pada minggu depan. Untuk beberapa hari ini pula, keadaan lebih lengang untuk saya sendiri. Maka ingin saya menjayakan keinginan untuk mencoret sesuatu di muka ini. Mendokumenkan (walaupun dalam dunia maya) segala catatan perjalanan, perasaan yang dirasai, insan-insan yang saya semakin kenali sifatnya dan lain-lain pembelajaran yang amat berguna kelak.

Perasaan semakin negatif sejak kebelakangan ini. Tekanan dirasai dengan intensif. Mencari resolusi di saat-saat akhir ini amatlah mencabar minda dan fizikal badan serta menguji kesabaran diri. Idea perancangan sangatlah bagus pada permulaannya tetapi kekilanan melanda pundak perasaan apabila pelaksanaannya tidak kelihatan seperti mana yang telah dirancang. Sungguh berbeza dan seolah-olah perancangan itu baru sahaja didrafkan. Faktornya cukup jelas dapat dikenal pasti, gerak kerja pada saat-saat akhir yang diamalkan dan ditambahi ikatan hubungan bekerja yang tidaklah rapat. Inisiatif diri kabur dipandang mata. Tulang menjadi berat untuk menggerakkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan dengan pantas. Seperti pahat dengan tukul, perlu diketuk baru bergerak.

Emosi tiada lagi dalam kawalan memikirkan mereka yang tidak pandai mengemudi bahtera yang telah diamanahkan. Dan keadaan bertambah buruk apabila jasad badan ini terbantut mindanya untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang diutarakan atau dirahsiakan. Perubahan cuaca begitu pantas sehingga menjejaskan ahli yang lain. Dan bagi menampakkan suria kembali bersinar terang, masa yang panjang diperlukan. Bukan pendekatan ini yang ingin dipelajari atau diamalkan tetapi ibarat cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang, insiden tersebut terus berlaku. Namun, perkara yang paling penting ialah ia bukanlah ribut yang menerbangkan segala tunjangan pada permukaan bumi.

Kekhuatiran membina di sanubari sebagai akibat rombakan institusi di hati yang mungkin akan atau telah mengguris perasaan yang lain. Justeru, yang diharapkan ialah kefahaman dan profesionalisme yang diguna pakai untuk mengekalkan jalinan perhubungan erat. Sesungguhnya, payah untuk membentuk kerjasama dan persaudaraan unik ini. Harap memahami.

Beberapa hari lagi, projek yang kita usahakan akan berlangsung. Harap-harap segalanya sempat dipersiapkan lalu berjaya dilaksanakan. Dan juga, himpunan manusia seramai lebih 200 orang ini akan bersurai tidak lama lagi. Membawa diri dalam haluan masing-masing. Pada masa itulah, ketidaksampaian akan menjenguk ruangan dada. Bagaimanapun, semoga persaudaraan ini akan kekal buat selama-lamanya.

Saturday, July 24, 2010

24 Julai 2010... Sudah lama blog tidak dimasukkan dengan khabar berita.. Dibiar sepi walaupun persekitarannya gamat membingit telinga.. Kelihatan hanyalah ketapan bibir tanda kenaifan dan ketidaksenangan..Sekarang, setiap anggota badan meronta meminta untuk direhatkan.. Minda yang sebagai ketua menjalankan tugas memaklumkan bahawa jasad ini keletihan dan seharusnya beristirahat.. Kembali mengumpul tenaga dan menyediakan diri untuk tugasan lain yang harus dipikul..

Saturday, April 10, 2010

berehat sebentar..

Hari ini tidak banyak yang dilakukan. Hanya duduk di hadapan komputer riba melakukan klikan atau menonton cerita yang ada. Sudah masuk ke minggu ulang kaji. Masih mencari kemahuan / gesaan menelaah buku. Sementara menunggu, beberapa akaun bagi beberapa program perlu dihitung / dilaporkan. Namun, ada beberapa butiran yang tidak meyakinkan. Dilema semasa membuat pertimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum, lantas mengganggu sedikit kelancaran kerja yang sedang diusahakan. Akhirnya, kedua-duanya ditinggalkan buat sementara waktu, memberi ruangan untuk mencoret sesuatu pada ruangan ini. Sekadar melalaikan diri daripada perasaan itu buat seketika.

Diberi peluang untuk menjawat jawatan selaku Bendahari Kehormat Majlis Penghuni Desasiswa Bakti Permai bagi Sidang Akademik 2009/2010, pelbagai pembelajaran / pengalaman diperoleh. Boleh belajar cara membuat akaun yang lengkap, padat dan mudah difahami oleh orang lain, walaupun pernah ditegur oleh pihak tertentu. Sesungguhnya, teguran itu agak bernas meskipun keras. Untuk pengetahuan, isi kandungan teguran tersebut dapat diterima dengan reda. Cuma cara teguran tersebut tidak dapat dipersetujui. Natijahnya, berlaku sedikit konfilk dengan pihak tersebut yang menyebabkan kekekokan semasa bersua. Walau bagaimanapun, "terima kasih!" , saya ucapkan kerana sudi memberi tunjuk ajar dan membantu dengan cara yang agak 'unik'.

Jikalau diimbas kembali, bermulanya penyertaan dalam aktiviti bepersatuan di peringkat sekolah menengah dulu, jenis jawatan tinggi yang dipikul buat pertama kali ialah Setiausaha. Bukan kepalang bilangan perkara yang dipelajari. Ketelitian dalam persuratan dipupuk di sini, memikirkan kerasionalan mempelajari Bahasa Melayu di dalam kelas sejak dari darjah 1 lagi. Lebih-lebih lagi apabila guru penasihat merupakan guru bahasa sekolah. Justeru, bertambah kepekaan dan tahap berhati-hati dalam penghasilan ayat-ayat yang gramatis walaupun tidak puitis. Sekiranya tidak dipraktik perkara yang diajar dan belajar, apakah logiknya bersusah payah menuntut ilmu di bilik darjah? Namun, yang lainnya, baik manis mahupun pahit biarlah berkubur di hati kerdil ini.

Peluang seterusnya ialah peluang menjadi ketua dalam sesebuah persatuan. Pengalamannya? hmm... hebat! Tidak dapat digambarkan kerana tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya. Hasil dapatan yang mungkin paling ketara adalah dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan cikgu-cikgu di sekolah. Dan di universiti, jawatan bendahari dicubai. Maka, boleh saya simpulkan bahawa pelbagai perkara dipelajari melalui ketiga-tiga jenis jawatan ini. Bukan sekadar bahagian tugas dan teknikal setiap jawatan, bahagian jalinan perhubungan turut memberi kepuasan kerohanian.

Saya amat bersyukur...!!

Thursday, April 8, 2010

tiada tajuk

Hai! Sudah lama blog ini tidak dipaparkan dengan penulisan tuannya kendatipun, banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh masa ini. Keinginan yang tinggi bertapak di hati untuk berkongsi di dalam ruangan ini, namun tindakan fizikal tidak kesampaian. Bukan disebabkan faktor masa, tetapi tahap semangat tidak mencukupi untuk memacu pergerakan tangan di atas papan kekunci komputer riba ini, khasnya bagi ruangan ini. Penghasilan ayat-ayat ilmiah adalah begitu sukar kebelakangan ini. Lantas, mematahkan keinginan menconteng pada halaman ini. “Kurang membaca!” adakah itu puncanya? Ataupun semasa membaca, konsentrasi tidak cukup berpusat lalu menyebabkan pentafsilan teori-teori gagal? Setuju..! Tanpa disedari, semangat membaca sudah semakin menjauhkan diri dari insan ini. Inisiatif semakin mendekati angka sifar. Amalan pembacaan pula tidaklah berkualiti. Kadang-kala, fikiran melayang jauh memikirkan kewajaran dan kewarasan tindakan-tindakan di sini. Tatkala mereka sibuk menuntut ilmu pengetahuan, manusia ini sibuk menimba pengalaman. Bagi dirinya, kedua-dua perkara ini adalah sangat penting dalam pembentukan nilai diri. Meskipun demikian, kadang-kala, hati bertemu kekecewaan dengan pilihan yang dilakukan. Sebelah bidang diturunkan untuk menaikkan bidang yang sebelah lagi, dan sebaliknya. Tiada pihak yang boleh disalahkan apabila merasai kekusutan perasaan, melainkan si pembuat keputusan. Pilihan dimuktamadkan, persiapkan diri bagi sebarang kemungkinan pengakhiran yang dikurniakan. Cuma perlu ingat bahawa pilihan harus berdasarkan kerasionalan!

Sunday, April 4, 2010

Sepotong Kata

tidak dapat kulihat penganugerahan Tuhan pada saat ini... kepulan-kepulan asbut berlayar longlai mengikut hembusan nafas di atas sana, walaupun tidak ditemani segaris cahaya yang boleh menunjukkan arah tujuannya.. namun, kupinta kurniaan dari langit adalah gerimis yang mententeramkan minda...

Sunday, March 21, 2010

keabadian


Ketika diksi bertemu diksi,

semangat bertamu menjadi tinggi,

dan semangat itu mesti kekal di pundak hati,

dibiar menyelubungi seluruh sanubari,

biar kekal abadi...


Thursday, January 21, 2010

Sebuah Organisasi..??

A : sesebuah organisasi tidak sama sekali menjadi hak milik persendirian... memberi peluang hanya kepada mereka yang sekepala atau sebulu atau rapat dengannya amatlah terlarang...

B : tetapi pd hakikatnya, ...itu yg b'laku di k'bykan organisasi.....
hanya mrk yg pandai "mengipas" dan "ambil hati" bos shj yg akan b'rjaya ke dpn.......

C : Walau bagaimanapun, untuk terus 'kekal' berada dalam sesebuah organisasi, kita terpaksa mempelajari teknik-teknik tertentu... sama ada menggunakan lorong yang baik ataupun sebaliknya... demikianlah kehidupan sebagai seorang manusia...

A : ye la.. kebiasaannya memang berlaku dalam sesebuah organisasi.. dan saya bersetuju dengan aktiviti 'mengipas' dan 'mengambil hati'... tapi si ketua tu kena la pandai menguruskan perasaannya sendiri.. jangan mabuk dalam keadaan teruja dan membuat penilaian dan keputusan yang terpesong dari paksi keadilan... dan kata putus itu bukannya dibuat oleh si ketua sahaja, tetapi melibatkan mereka (naib ketua, s/u dan bend serta yang lain) yang dilantik secara rasmi dan layak untuk memberi pendapat.. kesimpulan, mereka bukannya boneka-boneka yang menurut arahan saja....

A : memang begitu ragam manusia kini.. disebabkan itulah kita diajar dan dididik ke arah yang betul atau lebih tepat dalam kehidupan kita (sepanjang masa) melalui pelbagai perkara yang dilakukan serta organisasi yang disertai.. peluang menjawat jawatan harus dihargai dan digunakan untuk membetulkan keadaan yang tidak elok.. membetulkan senario negatif yang wujud pada masa ini.. kalau sekadar mengikut arus manusia kini, bilakah anjakan paradigma yang positif boleh dicapai yang seterusnya mampu mewujudkan kualiti kehidupan yang tinggi..?