Sunday, December 19, 2010

"18 Disember 2010".

Pada keseluruhan hari tersebut, keriangan memenuhi ruangan hati. Senyuman terukir dengan mudahnya sepanjang hari selepas mendapat kebenaran untuk merasai suasana di halaman rumah sekali lagi setelah sekian lama merantau meninggalkan tanah besar. Melihat dari perspektif hitungan ilmu hisab, barangkali 3 bulan bukanlah tempoh yang panjang. Namun begitu, dari segi longgokan perasaan yang bertadah di sanubari, sudah sangat lama sebenarnya tempat kelahiran ditinggalkan. Jikalau ditanya, apakah aktiviti yang ingin dilakukan di rumah?, maka ini jawapannya, meraikan perayaan Winter Solstice yang jatuh pada tanggal 22 Disember (setiap tahun). Pada hari tersebut, sajian bebola yang diperbuat daripada tepung pulut tang yuan akan disediakan. Sudah lama sebenarnya, insan ini tidak berpeluang merasai sajian wajib ini pada hari yang datang dengan keunikan ceritanya dan yang penuh dengan maknanya. Menurut sumber maklumat daripada insan mulia yang melahirkan pencoret ruangan ini, jikalau perbandingan ingin dilakukan, perayaan ini adalah lebih besar daripada Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, bagi penulis ini yang mempunyai pengetahuan cetek dalam isu perayaan-perayaan kaum Cina, perkara yang paling penting ialah pertemuan dengan setiap ahli keluarga menjelang musim perayaan. Seterusnya, kualiti pertemuan tersebut harus dijaga dan dijamin. Selain daripada ahli keluarga, peti televisyen juga amat dirindui. Dengan itu, matlamat kedua ialah tontonan cerita-cerita menarik yang bakal dipaparkan menjelang Hari Natal. Sekiranya dahulu begitu terhibur dengannya, maka diharapkan implikasinya tetap serupa walaupun sudah memasuki alam perkembangan manusia yang seterusnya.

Sebentar lagi, bas yang bergerak pada pukul 2 petang akan membawa insan ini kembali ke tanah besar. Selamat bercuti kepada semua. =]

Tuesday, December 14, 2010

Sudah memasuki bulan terakhir tahun 2010. Matahari boleh menampakkan diri 18 kali lagi, secara maksimum. Tinggal lagi satu semester setelah dua lagi semester telah ditamatkan di USM pada tahun ini. Jikalau ingin dihitung tempoh masa yang diluangkan di rumah, tidaklah ia menjangkau satu setengah bulan. Rata-rata di bumi USM si insan kerdil ini bertapak, mencari pengetahuan dan pengalaman, di samping membina persaudaraan melalui persahabatan yang dipandang enteng. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai maklum balas dapat dilaporkan dengan semaian usaha selama ini. Tetapi, ia tertakluk kepada kesesuaian fakta dan kesudian minda untuk berbuat demikian.

Pada pagi Sabtu (11/12/2010) yang lalu, pelan kehidupan tidaklah seperti yang telah dirancang. Kehilangan peluang untuk menawan Taman Perbandaran Pulau Pinang dan melihat kelangsungan Pesta Bunga dan Pesta Dragon Boat Race di lokasi-lokasi yang berdekatan. Puncanya ialah ketidaksatuan minda, badan dan jiwa yang mutlak. Peluang diharapkan masih ada pada masa hadapan.

Keamatan cahaya matlamat utama penambatan diri di sini, yakni untuk menyiapkan bahagian pertama projek tahun akhir, masih kelam. Keputusan yang diperoleh dengan menggunakan mesin polalografi kegunaan umum kurang memuaskan. Pelbagai masalah, iaitu masalah masa, teknikal dan peralatan timbul. Secara formal, dua slot masa sahaja, hari Isnin (waktu petang) dan Jumaat (sehari), yang boleh diisi setiap minggu. Sambungan wayar dengan klip buaya sudah lama dan kurang efisien. Kadang kala, sistem tidak tersambung dengan sempurna dan tiada tindak balas yang dapat dilihat. Tambahan, sejarah tercipta dengan sendirinya apabila pemangkin pada elektrod yang digunakan larut dalam larutan menyebabkan ketidaktepatan pencapaian keputusan. Justeru itu, akhirnya, penggunaan mesin polalografi khas untuk eksperimen kajian pelajar PhD disyorkan oleh penyelia. Maka, semalam, eksperimen telah diulang dan keputusannya telah dihantar kepada penyelia untuk disemak. Menurutnya, mulai minggu depan, mesin tersebut boleh digunakan setiap hari pada waktu pagi. Pengorbanan masa cuti semester di sini diharapkan dapat menguntumkan senyuman pada akhir projek.