Thursday, June 4, 2009

~TM KPT~

Perjumpaan dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah pada hari ini merupakan pembuka mata bagi saya yang tidak pernah lagi mempunyai peluang untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin negara. Melalui pengamatan kata-kata yang dilontarkan, saya dapat merasakan beliau merupakan seorang yang berjiwa mahasiswa dan mesra dengan kami, wakil-wakil persatuan dan kelab yang berada di dalam dewan kuliah A. Nasihat dan petunjuk diberikan selain menjelaskan beberapa perkara yang secara tidak langsungnya telah menjawab persoalan-persoalan yang selalu bermain-main di dalam minda.

Kemudian, tiba pula sesi soal jawab dengan YB. Memang mengkagumkan apabila terdapat mahasiswa dan mahasiswi yang tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk bertanyakan soalan yang selama ini menjadi bebanan dan konfusi pada diri masing-masing. Namun, senario di dalam dewan menjadi semakin panas dan rancak tetapi masih terkawal apabila terdapat mahasiswa dan mahasiswi yang bangkit dan tampil untuk menyuarakan ideologi dan mungkin ketidakpuasan dalam beberapa perkara. Sinis aturan kalimat yang diluahkan berdasarkan kandungan konotasi tersirat yang saya kira mudah untuk ditafsirkan dan difahami. Bangkit juga pihak yang sebelah lagi untuk membenteng virus-virus yang mengancam mereka. Suasana pada masa itu adalah seolah-olah saya telah bertukar identiti sebagai seorang wakil persatuan/kelab kepada seorang penonton di dalam mahkamah yang mempertontonkan kedua-dua pihak pendakwaraya dan pembelaan melepaskan hujah-hujah bernas masing-masing. Penguasaan dewan adalah berpihak kepada pihak pendakwaraya. Hakim mahkamah ialah YB. Terlalu hiperbola jika saya simbolikkan sedemikian?

Walau bagaimanapun, pendapat-pendapat yang diutarakan daripada kedua-dua pihak ada kesahihannnya. Pelbagai maklumat yang membuka minda dan kepastian dapat dikutip menerusi jawapan yang diberikan oleh YB.


Tuesday, June 2, 2009

Tiket Bas....

Hari ini saya melakukan satu ekspedisi berjalan kaki ke stesen bas Sungai Nibong untuk membeli tiket balik ke Teluk Intan. Mula-mula malas hendak berjalan sejauh itu apabila memikirkan perjalanan yang perlu saya tempuhi. Namun, tiba-tiba perasaan di sanubari begitu rela pada pagi ini. Maka, perjalanan dimulai menuju ke destinasi. Sampailah saya di kaunter menjual tiket. Sudah pukul 8.30 pagi. Alamak..!!! Dalam kaunter itu gelap dan belum beroperasi. Saya pun tunggu sebentar di sana memandangkan perjalanan dari Penang ke KL yang pertama akan bergerak pada pukul 9 pagi. Kebiasaannya, kaunter bas itu akan mula jual tiket sebelum perjalanan bas yang pertamanya bertolak. Saya pun duduk menunggu. Lebih kurang sepuluh minit telah berlalu, maka datanglah seorang gadis Melayu membuka pintu kaunter dan melakukan yang selainnya untuk mula berniaga menjual tiket. Adalah seorang pak cik Melayu pergi mendekati kaunter itu dan bertanyakan soalan. Selamba saja gadis itu. Menjawab atau tidak, saya tidak pasti. Kemudian datang pula seorang mak cik Melayu juga bertanyakan soalan dan meminjam pen dan kertas daripada gadis itu. Meninggalkan kaunter itu, mak cik ini mendekati saya sambil mengomen sikap gadis itu dan meluahkan isi hatinya yang agak kecewa bunyinya. Katanya, layanan gadis itu samba lewa dan sedikit tentang isu kaum... Saya tidak tahu hendak memberi reaksi yang macam mana selain meminjamkan telinga dan mendengar hamburan kata-kata serta mengiyakan sebagai tanda bersetuju. Tetapi, saya bersetuju dengan pendapat mak cik ini. Kecewa juga dengan perangai gadis itu kerana Melayu dengan Melayu pun begitu. Setelah berborak buat seketika, saya mendapat tahu bahawa mak cik ini merupakan emak kepada kawan yang belajar di USM. Setelah itu, saya pun mendapatkan tiket saya…06/06/2009 jam 1400.. Selepas itu, saya pun minta diri dengan mak cik itu dan bergerak pulang berjalan kaki. Saya anggap ekspedisi ini sebagai senaman badan kerana telah lama saya tidak berbuat sedemikian. =p


Saja meninggalkan coretan tentang perkara yang berlaku pada pagi ini untuk dijadikan tatapan dan disebabkan sudah lama tidak memasukkan entri di dalam blog ini. hehehehe...

Paradoks...


Kesukaan dalam kedukaan,

Kedukaan dalam kesukaan.