Tuesday, December 29, 2009

Ke Semester yang Baru...

Persediaan bagi semester baru ini dimulai secara praktikalnya dengan kepulangan ke USM pada hari Ahad. Dan pada hari semalam, persediaan tersebut menjadi lebih rapi apabila keputusan akhir telah diambil dalam pemilihan kursus-kursus bagi semester ini kecuali kertas minor yang mungkin akan diubah jikalau pensyarah kimia fizik bersetuju untuk menukar masa kuliah pada hari Selasa. Suka atau kurang suka, saya perlu membawa satu kursus tahun tiga ke dalam semester ini. Pertindihan masa yang ketara dan menjengkelkan menyebabkan tindakan tersebut perlu dan wajar diambil. Buat masa sekarang, saya menunggu sahaja jawapan sama ada pertukaran waktu kuliah akan berlaku untuk memuktamadkan kertas minor saya.
Kembali ke hari Ahad semasa dalam perjalanan balik ke USM. Saya rasa terkilan, kurang senang hati dan mungkin terharu . Semasa bas yang dinaiki menyinggah di Medan Gopeng, Ipoh, maka naiklah tiga orang orang kelainan upaya (penglihatan) dengan pimpinan dua pemuda yang pada mulanya saya ingat abang kepada mereka. tapi sebenarnya selepas seketika barulah saya dapat kenal pasti yang kedua-duanya hanyalah antara mereka yang menunggu bas di stesen bas tersebut. Mereka menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Saya respek tindakan mereka.
Kemudian, semasa menaiki feri, seorang pemuda pula memimpin salah seorang daripada si adik yang kurang bernasib baik tersebut. Kelibat yang dua orang lagi sudah tidak kelihatan. Saya menjangkakan mereka tidak menaiki feri untuk menyeberangi selat yang memisahkan Pulau Pinang dengan Tanah Besar. Pemuda yang berusia lebih muda daripada saya itu meneruskan pimpinannya sampailah si adik tersebut selamat duduk di dalam bas Rapid Penang. Selepas itu, barulah pemuda itu meninggalkannya dan menuju ke destinasinya yang sebenar. Saya yang melihat dari arah sebuah bas yang lain berasa terkilan dan kurang senang hati kerana tidak berupaya membantunya. Melihat si adik mengembara seolah-olah keseorangan. Terharu pula dengan pemuda-pemuda yang membantu walaupun perjalanan mereka terganggu sedikit. Moga-moga pertolongan yang ikhlas direstui Tuhan.
Sesungguhnya, semalam merupakan malam yang melesukan. Dengan perkhidmatan internet tanpa wayar USM yang masih belum dipulihkan, malam semalam diharungi dengan mengemas kini diri dengan maklumat sahabat handai di dalam Facebook. Setelah itu, novel "Segalanya Untukmu" menemani diri sehinggalah mata terlelap menanti pagi yang indah.
Pagi ini dimulai dengan kelas Bahasa Inggeris. Tidak banyak infomasi yang disampaikan kerana proses pendaftaran/penguguran kursus masih lagi berjalan. Dan kini, menunggu kuliah yang seterusnya iaitu pada pukul tiga petang. Menanti keputusan pertukaran waktu kuliah (jika sudah diputuskan).