Wednesday, November 10, 2010

Pagi ini saya mencuba nasib untuk menaiki bas ke dewan peperiksaan. Nasib agak baik kerana adanya sebuah bas bertanda laluan merah di tempat menunggu berdekatan Foyer DK U. Maka, saya menaiki bas tersebut setelah pemandu bas menekan butang untuk membuka pintu bas. Tiada penumpang lain di dalam bas tersebut melainkan saya sendiri. Pemandu bas bertanya kepada saya,

"Exam pukul berapa?"

"Pukul 9"

"OK jom..."

Kemudiannya, pemandu bas mula memandu bas mengikut tetapan laluannya. Destinasi terakhir ialah jejantas RST. Namun, alangkah terkesimanya saya apabila dia menurunkan saya betul-betul di hadapan bangunan Dewan Peperiksaan. Saya tidak perlu berjalan dari jejantas RST ke bangunan tersebut yang mengambil masa lebih kurang 2 minit.

"Ada sepuluh minit lagi", katanya apabila saya ingin turun dari bas.

"Terima Kasih". Dengan senyuman lebar dan hati yang girang, saya turun dari bas dan menuju ke dewan peperiksaan.

Secara jujurnya, saya terkejut sedikit dengan situasi ini yang jarang-jarang kali berlaku. Tetapi, saya teruja dengan keramahan yang ditunjukkan. Secara tuntasnya, hati saya riang sahaja hari ini kerana wujudnya sokongan moral tidak langsung ini daripada seorang pemandu bas, lebih-lebih lagi dalam musim peperiksaan akhir semester.

TERIMA KASIH, ENCIK...!!!

No comments:

Post a Comment