Saturday, April 10, 2010

berehat sebentar..

Hari ini tidak banyak yang dilakukan. Hanya duduk di hadapan komputer riba melakukan klikan atau menonton cerita yang ada. Sudah masuk ke minggu ulang kaji. Masih mencari kemahuan / gesaan menelaah buku. Sementara menunggu, beberapa akaun bagi beberapa program perlu dihitung / dilaporkan. Namun, ada beberapa butiran yang tidak meyakinkan. Dilema semasa membuat pertimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum, lantas mengganggu sedikit kelancaran kerja yang sedang diusahakan. Akhirnya, kedua-duanya ditinggalkan buat sementara waktu, memberi ruangan untuk mencoret sesuatu pada ruangan ini. Sekadar melalaikan diri daripada perasaan itu buat seketika.

Diberi peluang untuk menjawat jawatan selaku Bendahari Kehormat Majlis Penghuni Desasiswa Bakti Permai bagi Sidang Akademik 2009/2010, pelbagai pembelajaran / pengalaman diperoleh. Boleh belajar cara membuat akaun yang lengkap, padat dan mudah difahami oleh orang lain, walaupun pernah ditegur oleh pihak tertentu. Sesungguhnya, teguran itu agak bernas meskipun keras. Untuk pengetahuan, isi kandungan teguran tersebut dapat diterima dengan reda. Cuma cara teguran tersebut tidak dapat dipersetujui. Natijahnya, berlaku sedikit konfilk dengan pihak tersebut yang menyebabkan kekekokan semasa bersua. Walau bagaimanapun, "terima kasih!" , saya ucapkan kerana sudi memberi tunjuk ajar dan membantu dengan cara yang agak 'unik'.

Jikalau diimbas kembali, bermulanya penyertaan dalam aktiviti bepersatuan di peringkat sekolah menengah dulu, jenis jawatan tinggi yang dipikul buat pertama kali ialah Setiausaha. Bukan kepalang bilangan perkara yang dipelajari. Ketelitian dalam persuratan dipupuk di sini, memikirkan kerasionalan mempelajari Bahasa Melayu di dalam kelas sejak dari darjah 1 lagi. Lebih-lebih lagi apabila guru penasihat merupakan guru bahasa sekolah. Justeru, bertambah kepekaan dan tahap berhati-hati dalam penghasilan ayat-ayat yang gramatis walaupun tidak puitis. Sekiranya tidak dipraktik perkara yang diajar dan belajar, apakah logiknya bersusah payah menuntut ilmu di bilik darjah? Namun, yang lainnya, baik manis mahupun pahit biarlah berkubur di hati kerdil ini.

Peluang seterusnya ialah peluang menjadi ketua dalam sesebuah persatuan. Pengalamannya? hmm... hebat! Tidak dapat digambarkan kerana tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya. Hasil dapatan yang mungkin paling ketara adalah dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan cikgu-cikgu di sekolah. Dan di universiti, jawatan bendahari dicubai. Maka, boleh saya simpulkan bahawa pelbagai perkara dipelajari melalui ketiga-tiga jenis jawatan ini. Bukan sekadar bahagian tugas dan teknikal setiap jawatan, bahagian jalinan perhubungan turut memberi kepuasan kerohanian.

Saya amat bersyukur...!!

Thursday, April 8, 2010

tiada tajuk

Hai! Sudah lama blog ini tidak dipaparkan dengan penulisan tuannya kendatipun, banyak perkara yang berlaku sepanjang tempoh masa ini. Keinginan yang tinggi bertapak di hati untuk berkongsi di dalam ruangan ini, namun tindakan fizikal tidak kesampaian. Bukan disebabkan faktor masa, tetapi tahap semangat tidak mencukupi untuk memacu pergerakan tangan di atas papan kekunci komputer riba ini, khasnya bagi ruangan ini. Penghasilan ayat-ayat ilmiah adalah begitu sukar kebelakangan ini. Lantas, mematahkan keinginan menconteng pada halaman ini. “Kurang membaca!” adakah itu puncanya? Ataupun semasa membaca, konsentrasi tidak cukup berpusat lalu menyebabkan pentafsilan teori-teori gagal? Setuju..! Tanpa disedari, semangat membaca sudah semakin menjauhkan diri dari insan ini. Inisiatif semakin mendekati angka sifar. Amalan pembacaan pula tidaklah berkualiti. Kadang-kala, fikiran melayang jauh memikirkan kewajaran dan kewarasan tindakan-tindakan di sini. Tatkala mereka sibuk menuntut ilmu pengetahuan, manusia ini sibuk menimba pengalaman. Bagi dirinya, kedua-dua perkara ini adalah sangat penting dalam pembentukan nilai diri. Meskipun demikian, kadang-kala, hati bertemu kekecewaan dengan pilihan yang dilakukan. Sebelah bidang diturunkan untuk menaikkan bidang yang sebelah lagi, dan sebaliknya. Tiada pihak yang boleh disalahkan apabila merasai kekusutan perasaan, melainkan si pembuat keputusan. Pilihan dimuktamadkan, persiapkan diri bagi sebarang kemungkinan pengakhiran yang dikurniakan. Cuma perlu ingat bahawa pilihan harus berdasarkan kerasionalan!

Sunday, April 4, 2010

Sepotong Kata

tidak dapat kulihat penganugerahan Tuhan pada saat ini... kepulan-kepulan asbut berlayar longlai mengikut hembusan nafas di atas sana, walaupun tidak ditemani segaris cahaya yang boleh menunjukkan arah tujuannya.. namun, kupinta kurniaan dari langit adalah gerimis yang mententeramkan minda...