Saturday, July 31, 2010

ConvEx '10

Beberapa hari yang lepas, saya sibuk dengan persediaan Ekspo Konvokesyen USM yang akan diadakan pada minggu depan. Untuk beberapa hari ini pula, keadaan lebih lengang untuk saya sendiri. Maka ingin saya menjayakan keinginan untuk mencoret sesuatu di muka ini. Mendokumenkan (walaupun dalam dunia maya) segala catatan perjalanan, perasaan yang dirasai, insan-insan yang saya semakin kenali sifatnya dan lain-lain pembelajaran yang amat berguna kelak.

Perasaan semakin negatif sejak kebelakangan ini. Tekanan dirasai dengan intensif. Mencari resolusi di saat-saat akhir ini amatlah mencabar minda dan fizikal badan serta menguji kesabaran diri. Idea perancangan sangatlah bagus pada permulaannya tetapi kekilanan melanda pundak perasaan apabila pelaksanaannya tidak kelihatan seperti mana yang telah dirancang. Sungguh berbeza dan seolah-olah perancangan itu baru sahaja didrafkan. Faktornya cukup jelas dapat dikenal pasti, gerak kerja pada saat-saat akhir yang diamalkan dan ditambahi ikatan hubungan bekerja yang tidaklah rapat. Inisiatif diri kabur dipandang mata. Tulang menjadi berat untuk menggerakkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan dengan pantas. Seperti pahat dengan tukul, perlu diketuk baru bergerak.

Emosi tiada lagi dalam kawalan memikirkan mereka yang tidak pandai mengemudi bahtera yang telah diamanahkan. Dan keadaan bertambah buruk apabila jasad badan ini terbantut mindanya untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi masalah yang diutarakan atau dirahsiakan. Perubahan cuaca begitu pantas sehingga menjejaskan ahli yang lain. Dan bagi menampakkan suria kembali bersinar terang, masa yang panjang diperlukan. Bukan pendekatan ini yang ingin dipelajari atau diamalkan tetapi ibarat cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang, insiden tersebut terus berlaku. Namun, perkara yang paling penting ialah ia bukanlah ribut yang menerbangkan segala tunjangan pada permukaan bumi.

Kekhuatiran membina di sanubari sebagai akibat rombakan institusi di hati yang mungkin akan atau telah mengguris perasaan yang lain. Justeru, yang diharapkan ialah kefahaman dan profesionalisme yang diguna pakai untuk mengekalkan jalinan perhubungan erat. Sesungguhnya, payah untuk membentuk kerjasama dan persaudaraan unik ini. Harap memahami.

Beberapa hari lagi, projek yang kita usahakan akan berlangsung. Harap-harap segalanya sempat dipersiapkan lalu berjaya dilaksanakan. Dan juga, himpunan manusia seramai lebih 200 orang ini akan bersurai tidak lama lagi. Membawa diri dalam haluan masing-masing. Pada masa itulah, ketidaksampaian akan menjenguk ruangan dada. Bagaimanapun, semoga persaudaraan ini akan kekal buat selama-lamanya.

Saturday, July 24, 2010

24 Julai 2010... Sudah lama blog tidak dimasukkan dengan khabar berita.. Dibiar sepi walaupun persekitarannya gamat membingit telinga.. Kelihatan hanyalah ketapan bibir tanda kenaifan dan ketidaksenangan..Sekarang, setiap anggota badan meronta meminta untuk direhatkan.. Minda yang sebagai ketua menjalankan tugas memaklumkan bahawa jasad ini keletihan dan seharusnya beristirahat.. Kembali mengumpul tenaga dan menyediakan diri untuk tugasan lain yang harus dipikul..