Saturday, April 10, 2010

berehat sebentar..

Hari ini tidak banyak yang dilakukan. Hanya duduk di hadapan komputer riba melakukan klikan atau menonton cerita yang ada. Sudah masuk ke minggu ulang kaji. Masih mencari kemahuan / gesaan menelaah buku. Sementara menunggu, beberapa akaun bagi beberapa program perlu dihitung / dilaporkan. Namun, ada beberapa butiran yang tidak meyakinkan. Dilema semasa membuat pertimbangan antara akademik dan aktiviti kokurikulum, lantas mengganggu sedikit kelancaran kerja yang sedang diusahakan. Akhirnya, kedua-duanya ditinggalkan buat sementara waktu, memberi ruangan untuk mencoret sesuatu pada ruangan ini. Sekadar melalaikan diri daripada perasaan itu buat seketika.

Diberi peluang untuk menjawat jawatan selaku Bendahari Kehormat Majlis Penghuni Desasiswa Bakti Permai bagi Sidang Akademik 2009/2010, pelbagai pembelajaran / pengalaman diperoleh. Boleh belajar cara membuat akaun yang lengkap, padat dan mudah difahami oleh orang lain, walaupun pernah ditegur oleh pihak tertentu. Sesungguhnya, teguran itu agak bernas meskipun keras. Untuk pengetahuan, isi kandungan teguran tersebut dapat diterima dengan reda. Cuma cara teguran tersebut tidak dapat dipersetujui. Natijahnya, berlaku sedikit konfilk dengan pihak tersebut yang menyebabkan kekekokan semasa bersua. Walau bagaimanapun, "terima kasih!" , saya ucapkan kerana sudi memberi tunjuk ajar dan membantu dengan cara yang agak 'unik'.

Jikalau diimbas kembali, bermulanya penyertaan dalam aktiviti bepersatuan di peringkat sekolah menengah dulu, jenis jawatan tinggi yang dipikul buat pertama kali ialah Setiausaha. Bukan kepalang bilangan perkara yang dipelajari. Ketelitian dalam persuratan dipupuk di sini, memikirkan kerasionalan mempelajari Bahasa Melayu di dalam kelas sejak dari darjah 1 lagi. Lebih-lebih lagi apabila guru penasihat merupakan guru bahasa sekolah. Justeru, bertambah kepekaan dan tahap berhati-hati dalam penghasilan ayat-ayat yang gramatis walaupun tidak puitis. Sekiranya tidak dipraktik perkara yang diajar dan belajar, apakah logiknya bersusah payah menuntut ilmu di bilik darjah? Namun, yang lainnya, baik manis mahupun pahit biarlah berkubur di hati kerdil ini.

Peluang seterusnya ialah peluang menjadi ketua dalam sesebuah persatuan. Pengalamannya? hmm... hebat! Tidak dapat digambarkan kerana tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya. Hasil dapatan yang mungkin paling ketara adalah dapat menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan cikgu-cikgu di sekolah. Dan di universiti, jawatan bendahari dicubai. Maka, boleh saya simpulkan bahawa pelbagai perkara dipelajari melalui ketiga-tiga jenis jawatan ini. Bukan sekadar bahagian tugas dan teknikal setiap jawatan, bahagian jalinan perhubungan turut memberi kepuasan kerohanian.

Saya amat bersyukur...!!

No comments:

Post a Comment