Tuesday, December 14, 2010

Sudah memasuki bulan terakhir tahun 2010. Matahari boleh menampakkan diri 18 kali lagi, secara maksimum. Tinggal lagi satu semester setelah dua lagi semester telah ditamatkan di USM pada tahun ini. Jikalau ingin dihitung tempoh masa yang diluangkan di rumah, tidaklah ia menjangkau satu setengah bulan. Rata-rata di bumi USM si insan kerdil ini bertapak, mencari pengetahuan dan pengalaman, di samping membina persaudaraan melalui persahabatan yang dipandang enteng. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai maklum balas dapat dilaporkan dengan semaian usaha selama ini. Tetapi, ia tertakluk kepada kesesuaian fakta dan kesudian minda untuk berbuat demikian.

Pada pagi Sabtu (11/12/2010) yang lalu, pelan kehidupan tidaklah seperti yang telah dirancang. Kehilangan peluang untuk menawan Taman Perbandaran Pulau Pinang dan melihat kelangsungan Pesta Bunga dan Pesta Dragon Boat Race di lokasi-lokasi yang berdekatan. Puncanya ialah ketidaksatuan minda, badan dan jiwa yang mutlak. Peluang diharapkan masih ada pada masa hadapan.

Keamatan cahaya matlamat utama penambatan diri di sini, yakni untuk menyiapkan bahagian pertama projek tahun akhir, masih kelam. Keputusan yang diperoleh dengan menggunakan mesin polalografi kegunaan umum kurang memuaskan. Pelbagai masalah, iaitu masalah masa, teknikal dan peralatan timbul. Secara formal, dua slot masa sahaja, hari Isnin (waktu petang) dan Jumaat (sehari), yang boleh diisi setiap minggu. Sambungan wayar dengan klip buaya sudah lama dan kurang efisien. Kadang kala, sistem tidak tersambung dengan sempurna dan tiada tindak balas yang dapat dilihat. Tambahan, sejarah tercipta dengan sendirinya apabila pemangkin pada elektrod yang digunakan larut dalam larutan menyebabkan ketidaktepatan pencapaian keputusan. Justeru itu, akhirnya, penggunaan mesin polalografi khas untuk eksperimen kajian pelajar PhD disyorkan oleh penyelia. Maka, semalam, eksperimen telah diulang dan keputusannya telah dihantar kepada penyelia untuk disemak. Menurutnya, mulai minggu depan, mesin tersebut boleh digunakan setiap hari pada waktu pagi. Pengorbanan masa cuti semester di sini diharapkan dapat menguntumkan senyuman pada akhir projek.

2 comments:

  1. Secara jujurnya, mantap sungguh penggunaan bahasa anda. Pandai anda menyusun kata-kata dengan rapi dan kemas. Indah terasa! Terus dan terus menulis! :))

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi menjenguk ruangan ini. Jikalau saudari memiliki blog, mungkin boleh saya lawati. Biar sama-sama mengkaji. :)

    ReplyDelete