Sunday, July 26, 2009

Pergaulan..

Keraguan dalam Kebenaran,
Kesukaran dalam Kebolehan,
Kesulitan dalam Kesenangan,
Kekocakan dalam Keheningan,
Keparahan dalam Keindahan.

Keikhlasan kian menghilang dalam penemuan kebenaran,
Golakan jiwa mempersoalkan dan menyekat kebolehan,
Persekitaran membantutkan pelaksanaan,
Teruk perancangan tergadai kelestarian.

Monday, July 20, 2009

Titian hari ini..

Hello!

Hari ini saya harungi dengan penuh tekanan dan bebanan. Tekanan dan bebanan yang dapat dibaui jikalau saya tidak melakukan dan menyelesaikan perkara tersebut terlebih dahulu. Namun, saya tetap dengan khayalan manis dan ketaksuban dengan teknologi yang berada di hadapan saya. Gara-gara lupa atau tidak mengendah pada prinsip,

Bersusah-susah dahulu,
Bersenang-senang kemudian.


Walau bagaimanapun, kini tekanan telah berkurangan tetapi bebanan di dalam kepala masih terasa sampai sekarang. Dan saya perlu sedar dan betul-betul sedar. Kalau boleh, saya tidak mahu mengulangi kejadian / kekalutan pada hari ini. Keutamaan mahu diberikan dalam usaha merealisasikan matlamat yang ditetapkan dari masa ke masa.

Boleh..!

Sunday, July 19, 2009

kurang ajar ke kurang belajar..?

Curi masa sikit….

Dalam dua tiga hari ini, kata-kata ini bermain di minda saya : “Kurang ajar” dan “Kurang belajar”. Dapat kenal pasti persamaan dan perbezaan bagi kata-kata ini dari segi simantik, teknik sebutan dan mungkin tahap kesivikan penggunanya? Sebenarnya tafsiran demi tafsiran melintasi otak saya ini sehingga saya merasakan ada baiknya isu ini dijadikan subjek perbincangan dan dimasukkan ke dalam blog ini. Namun, buah fikiran dan pengolahan yang bakal saya taipkan di sini tiadalah kaitannya dengan sesiapa pun dan dalam keadaan yang sebagaimana pun… hanya ingin berkongsi idea untuk mengubah corak bersosial sesetengah orang, khasnya kepada mereka yang acapkali menggunakan frasa “KURANG AJAR!!”…

‘Lembu punya susu, sapi dapat nama’.. Apakah pendapat anda dengan peribahasa ini? Sekiranya perkara ini berlaku ke atas diri kita, marah bukan? Kalau tidak marah pun, akan rasa kurang senang bukan? Kalau tidak rasa apa-apa yang negatif tetapi sebaliknya terasa puas hati dan bersyukur, tahniahlah kerana tidak ramai yang dapat berbuat sedemikian…

Saya kira sama konsepnya di sini apabila kata-kata “kurang ajar” digunakan. Adakah kegagalan seseorang menampilkan diri dari aspek bahasa, kelakuan dan keperibadian dirinya dengan baik, ibu dan bapa atau penjaga atau gurunya yang harus dipersalahkan? Hal ini kerana pada dasarnya kumpulan orang inilah yang mendidik dan membentuk generasi muda kini…
“Kurang ajar” merupakan bahasa yang agak kasar dan merujuk kepada kegagalan atau kekurangan orang-orang ini dalam usaha mereka terhadap tanggungjawab yang diamanahkan sebagai pendidik. Wajarkah mereka yang dipersalahkan? Atau individu muda tersebut yang wajar dipersalahkan kerana kurang belajar? Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segolongan manusia yang dijaga dan dididik dengan sangat baik. Tetapi, dukacitanya mereka tidak berjaya menunjukkan nilai-nilai murni yang dipelajari selama mereka berespirasi di atas permukaan bumi ini sehinggakan mereka dilabelkan mereka yang “kurang ajar”. Penegasan saya di sini ialah mereka ini “kurang ajar” atau “kurang belajar”? Saya merasakan frasa yang sepatutnya digunakan ialah “kurang belajar”. Tidak adil sekiranya kata kurang ajar digunakan kerana bukan pendidik-pendidiknya yang bersalah sebaliknya individu itulah yang harus lebih mencerap dan menonjol sebagai mereka yang terpuji. Maka, saya ingin menegaskan bahawa istilah “kurang belajar” yang sepatutnya digunakan untuk melabel mereka ini.
Selain dapat mengelakkan pergaduhan lidah ataupun fizikal, keadilan terhadap golongan pendidik yang sering kali dipersalahkan ini, apabila wujudnya kes atau isu yang berkaitan, dapat dituntut. Tambahan, penggunaan “kurang belajar” ini lebih sopan dan saya rasa tidak mencabar kesabaran dan toleransi sesiapa. Dengan kata lain, “kurang belajar” adalah lebih ideal untuk digunakan berbanding “kurang ajar”.

Peringatan : “kurang ajar” merujuk kepada mereka yang mengajar dan “kurang belajar” merujuk kepada mereka yang diajar… Justeru, daripada menggunakan “kurang ajar”, berubahlah kepada penggunaan “kurang belajar”, melainkan anda pasti bahawa orang tersebut betul-betul tidak pernah atau kurang diajar…

Thursday, July 16, 2009

...Kaca Pelita..

Di dalam fasa yang kedua, kami memasuki Pusat Latihan NAKA, Kedah untuk menyertai kursus Bina Negara. Selama 5 hari dan 4 malam kami menjalani kursus di sana. Kiranya seronok juga kerana dapat menyertai kursus sedemikian yang ala PLKN. Selain itu, keseronokan terasa apabila kami mendiami bilik/dorm yang berpenghawa dingin. Aktiviti yang diprogramkan agak memuaskan. Seronok semasa menerokai hutan pada malam hari secara beramai-ramai dan lagi mencabar dan memuaskan hati apabila berjalan sendirian yang hanya berpandukan lampu-lampu petanda yang dipasang. Walaupun pada malam itu, si dia yang berada di belakang saya tidak sihat dan terpaksa akur dengan stamina diri dan perlu dihantar ke hospital untuk direhatkan. Agak mencabar dan takut juga bagi saya yang kena pegang dia kuat-kuat. Tapi bersyukur dia tiada apa-apa pada hari itu.

Permainan yang berunsurkan kenegaraan yang agak menarik turut disediakan. Agak terhibur dibuatnya. Dari segi makanan kurang sikit dari segi kesesuaian menu, mutu dan kuantitinya. Walau bagaimanapun, dari keseluruhannya penilaian yang boleh saya buat adalah memuaskan.

Tambahan, melalui fasa ini saya dapat mendalami sejarah negara di samping menyedari sesuatu yang mungkin tidak patut dilakukan. Namun tidak mengapa kerana bumi mana yang tidak ditimpa hujan?

mungkin disambung atau tidak akan disambung...


Monday, July 13, 2009

faktor masa dan idea..

Blog ini buat sementara tidak dapat saya kemaskinikan kerana ingin meluangkan masa dengan perkara-perkara prima dahulu dan tiada idea untuk menyusun kata-kata. Saya akan memasukkan entri ke dalam blog ini setelah semuanya sudah terkawal dan masa mengizinkan.

Ceria selalu dan jaga diri baik-baik...

Wednesday, July 1, 2009

...Sumbu Pelita...

Penantian yang dinanti-nantikan akhirnya berakhir. Program bersama-sama pelajar baru USM bagi sesi 2009/2010 akan bermula pada keesokan hari. Jentera-jentera penggerak yang dulunya bergelar PPMS (Pembimbing Pelajar Minggu Suai Kenal) telah ditukar identitinya kepada PPSL (Pembimbing Program Siswa Lestari) selari dengan status universiti APEX yang diamanahkan.

Semenjak 14 Jun yang lalu, sukarelawan-sukarelawan/paksarelawan-paksarelawan bagi program ini telah berkampung semula di bumi USM untuk menjalani latihan intensif dalam dua fasa. Dalam fasa pertama, latihan intensif pendengaran dan ketajaman pemikiran ditempuhi. Ceramah-ceramah daripada pelbagai pihak di USM diikuti. Selain itu, atas dasar keprihatinan inisiatif diambil untuk bertanyakan soalan agar sebarang kemusykilan dapat diuraikan lantas kekhilafan dapat dikurangkan atau dielakkan.

....(sepatutnya dipaparkan pada 26/06/2009)

akan disambung...