Saturday, January 1, 2011

Happy New Year 2011!

Sudah memasuki dekad baru. Namun, dengan tekad baru? Ya, dipercayai dan diyakini bahawa setiap individu telah menyatakan tekad baru kepada diri masing-masing. Persoalannya, cuma peratusan pencapaian yang boleh dicatatkan dalam tempoh masa setahun ini. Dengan kecekalan yang mantap dan jitu, sebenarnya, tiada masalah untuk merapati walaupun mungkin tidak berjaya merekodkan 100%. Semoga berjaya!

Beberapa hari ini, pemikiran agak khurafat, sedikit terpengaruh dengan cerita makhluk halus Cina yang mungkin benar. Ingin diluahkan bahawa, saya boleh berubah menjadi pontianak jikalau ajal datang menjemput pada saat ini. Hal ini kerana 'nafas tambahan (kegeraman)' terperangkap pada saluran respirasi, yang menjerut leher dan menyesakkan pernafasan normal. Gabungan beberapa insiden yang mengguris hati dan memerlukan pengaturkawalan minda kembali sungguh mendukacitakan. Tambahan, pemakaian topeng seolah-olah wajib untuk mententeramkan hati-hati yang lain demi pengelakan kekokan pada masa hadapan. Penuturan dipesongkan agar sedap didengari walaupun getaran bantahan hati begitu jelas sekali. Pendustaan mengaburi kebenaran. Dan kini kian menjadi ikutan yang dijangka boleh menjadi tabiat sekiranya tiada pemantauan susulan yang serius.

Kubu toleransi dihentam kuat dengan peristiwa 'melupai'. Tidak ganjil jikalau pemikiran melayang tanpa arah mengenangkan kekhilafan yang barangkali tidak disengajakan ini. Ulangan peristiwa yang sama mengajak minda untuk mempertimbangkan soal keikhlasan dalam isu akademik dan setiap undangan bagi aktiviti bersama yang dirancang. Apakah undangan adalah paksaan dan hanya sekadar untuk mengisi kekosongan atau kuota? Apakah ikatan ini hanyalah alat permainan atau alat kawalan anda? Mungkin anda tidak sedari, tetapi tuan punya badan ini mengerti. Apabila sudut pesongan terus meningkat, maka persoalan kepentingan ikatan ini menjadi pertaruhan dan dibicarakan secara monolog. Kerana nila 'beberapa titik' (setitik), rosak susu sebelanga. Disedari bukan semua telur itu rosak. Tetapi apabila diletak bersama, hilang keinginan untuk memilih dan berada dalam kelompok telur tersebut.

Sesunguhnya, lukisan kita bersama semakin luntur dan pudar. Barangkali ada baiknya jikalau diletakkan jarak selamat antara kita untuk mengelakkan 'ketidaksengajaan' tusukan tepat atau sipi daripada anda.

Tema memasuki tahun baru diwartakan sebagai 'Kesedaran Konsisten'. Menjauhi alam fantasi dan harus SEDAR dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Kurangkan pemakaian topeng pelancungan. Serlahkah kekuatan yang dimiliki, di samping memperbaiki kelemahan yang disedari. Kegembiraan perlu mengisi ruangan tiap-tiap hari. Moga-moga tahun ini lebih bermakna bagi kita semua.

Selamat Tahun Baru!

No comments:

Post a Comment