SEDIH melihat keadaan di Indonesia yang digempakan sekali lagi oleh kuasa alam. Bilangan penduduk yang terkorban sudah tentunya meningkat dengan mendadak saban hari melalui usaha pencarian yang sedang giat dilakukan kini. Begitu juga dengan jumlah penduduk yang mengalami kemusnahan harta benda yang menjadikan mereka begitu kesempitan dari segi keperluan asas. Melalui artikel surat khabar yang dibaca hari itu, mereka makan makanan dan minum minuman yang seadanya walaupun tahap kualiti makanan dan minuman sangat rendah. Namun, dalam keadaan yang begitu memaksa, adakah mereka mempunyai pilihan? Mereka tiada pilihan kerana tekak yang kering perlu dibasahi dan perut yang kosong perlu diisi.
ATAS prinsip kemanusiaan, kita dapat lihat bantuan-bantuan negara jiran sekali lagi dihulurkan kepada mangsa-mangsa untuk meringankan penderitaan. Diharapkan negara Indonesia dapat mengharungi dugaan yang mencabar ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan.
DI negara kita pula, tatkala kita merasai gegaran sebagai kesan daripada bencana alam tersebut kerana Malaysia terletak begitu dekat dengan negara Indonesia, kita turut digegarkan dengan insiden masalah sosial yang semakin meruncing pada masa ini iaitu masalah merempit, memandu dengan tidak berhemah dan meragut. Masalah merempit sesungguhnya mendapat liputan berita yang begitu meluas di negara kita pada suatu ketika dahulu dan kekal sampai ke hari ini. Melalui perspektif saya, secara tidak langsung, perempit-perempit jalanan ini telah mendapat liputan berita percuma yang menjadikan mereka popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Barangkali mereka merasakan mereka dihargai melalui paparan yang sering kali memenuhi halaman akhbar. Mereka melabel diri mereka hebat, terbaik dan suka akan cabaran meskipun nyawa diri sendiri dan orang lain, jiwa ibu dan bapa serta kebahagiaan keluarga dipertaruhkan. Bayangkan sekiranya perempit ini maut kerana melakukan aksi yang kononnya hebat di atas jalan raya, bukankah ibu dan bapa akan berasa sangat sedih sehingga mungkin mereka kehilangan jiwa mereka? Mungkinkah kebahagiaan keluarga dapat dikekalkan sekiranya kematian sebagai akibat merempit berlaku dalam keluarga tersebut? Jawapannya, 'Tidak!!'. Malahan keluarga tersebut mungkin akan dicaci atau dijadikan buah mulut satu kampung yang seterusnya akan menjatuhkan prestij dan nama baik keluarga. Hidup dalam kekosongan jiwa dan kehinaan sebagai balasan untuk ibu dan bapa yang melahir dan bersusah payah membesarkan kita? Dalam perkara ini, pilihan boleh dibuat berbanding dengan peristiwa yang berlaku di Indonesia iaitu, penduduk Padang yang terpaksa pasrah pada kuasa alam atau kuasa Tuhan yang mahu menduga. Mungkin disebabkan kurangnya keprihatinan oleh orang yang tersayang, tekanan dalam pembelajaran dan marcapada, seseorang merempit untuk melepaskan diri daripada himpitan tekanan yang mendera. Tetapi, seperti dalam penyelesaikan masalah Matematik, bukan satu sahaja cara yang boleh diguna pakai untuk menyelesaikan masalah tersebut. Pelbagai cara wujud untuk mendapatkan jawapannya yang satu.
SATU lagi insiden jalan raya yang kurang sihat dapat saya kenal pasti yakni memandu atau menunggang melebihi kelajuan yang telah ditetapkan. Saya musykil dengan tafsiran papan-papan had kelajuan di tepi jalan yang dilakukan. Sebagai contoh, papan had kelajuan 80 km/sejam. Papan ini membawa maksud had kelajuan maksimum 80km/sejam atau had kelajuan minimum 80km/sejam di kawasan tersebut? Sekolah latihan memandu manalah yang mengajar papan had kelajuan yang dipacak di tepi jalan membawa pengertian had kelajuan minimum? Atau pemahaman sebenarnya senjaga diketepikan atas faktor mengejar masa, tidak mahu membazir masa lebih di atas jalan raya atau seronok melanggar peraturan trafik dan suka memecut? Melihat deruan yang laju di atas jalan raya boleh menakutkan pengguna jalan raya yang lain dan lebih serius lagi menyebabkan trauma. Selain itu, sedih untuk mendapat tahu bahawa ada saja kematian jalan raya semasa musim perayaan seolah-olah telah ditetapkan kematian mesti berlaku setiap kali musim perayaan menjelang. Sekali lagi, bukankah kita memiliki pilihan? Apakah resolusinya jikalau disebabkan nafsu kita di atas jalan raya kebahagiaan orang lain punah akibat kematian? Aman jiwa dan bahagiakah kita, penyebab kematian tersebut semasa meraikan sesuatu perayaan bersama-sama ahli keluarga yang tercinta, sedangkan keluarga yang satu lagi berkabung atas pemergian ahli keluarga yang dicintai dan disayangi? Apakah pula perasaan kita jika kedudukan watak antara kedua-dua keluarga saling bertukar? Saya yakin dan percaya bahawa keadaan yang wujud adalah kesedihan, ketidakamanan dan rasa bersalah yang memenuhi sanubari sepanjang kehidupan. Pilihlah untuk menggunakan jalan raya dengan berhemah!!
SEPANJANG minggu saya berada di rumah semasa cuti khas, saya tertarik dengan sebuah iklan kes ragut yang ditayangkan. Sungguh benar iklan yang dibuat itu sehinggakan saya rasa mampu membuat peragut-peragut di luar sana terpaku dan berfikir sejenak relevannya mereka berbuat sedemikian kepada orang lain dan bagaimana sekiranya balasan insiden yang sama berlaku ke atas diri sendiri atau ahli keluarga terdekat. Dan sangat diharapkan iklan tersebut mampu menyedarkan peragut atau potensi peragut yang ingin melakukan kesalahan ini. Perlu ingat bahawa setiap perbuatan ada balasannya. Perbuatan yang baik dibalas baik, perbuatan jahat dibalas dengan balasan yang setimpal, sungguhpun balasan itu mungkin tidak akan diterima pada masa itu juga. Dengan kata lain, balasan itu tetap ada dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diberikan bagi setiap perbuatan yang dilakukan. Berubahlah dan jadilah insan yang terpuji. Cari pekerjaan yang memberikan sumber pendapatan tetap. Usah membiarkan hati dikaburi sikap pentingkan diri sendiri dan perasaan tamak haloba yang memberi kesenangan sementara buat diri sendiri tetapi keperitan berpanjangan kepada orang lain. Ingat, seseorang yang meragut bukan sahaja meragut harta yang terdapat dalam beg tangan tersebut, tetapi dia juga meragut nyawa manusia di samping jiwa individu terdekat kepada mangsa ragutan tersebut.
Gempa, rempit dan ragut.
ReplyDeleteuhu. Tumpang lalu..
Jenguklah blog saya, seniorku. :)