hmmm~
Tuntutan Hati
jangan kabur
Thursday, April 14, 2011
Semester ini sungguh mencabar dan memenatkan, bukan dek kerana akademik yang diikuti dan dipelajari tetapi faktor persekitarannya yang mendukacitakan dan menghampakan. Bukan dalam jangkaan utama, semester terakhir ini sebegitu hebat permainan dan percaturan rasa, kecekalan dan integriti diri. Tewas!~ Tewas dalam pengawalan diri daripada mengekspreskan perasaan yang selama ini terpendam. Dewasa ini, kesabaran seolah-olah tidak lagi mendapat tempat dalam kamus kehidupan. Pantang mendapat tahu khabar berita yang tidak menyenangkan walaupun darjah keseriusannya tidak besar. Hati sudah patah. Kekecewaan membelenggui jiwa yang semakin rapuh dan minda yang semakin mencapah. Kehadiran mereka sememangnya mencelik mata, mengangkat tempurung yang selama ini disangka langit.
Thursday, January 13, 2011
Langkahan pada hari ini diselubungi dengan keletihan dan kepasifan yang bukanlah kemahuan. Beberapa hari yang lepas dilalui dengan penggunaan tenaga yang melampau. Tambahan, matahari yang terlalu merindui setiap organisme di atas permukaan bumi ini setia menyinari. Lantas, imuniti badan seolah-olah lemah dan rendah, barangkali kubu barisan pertahanan sudah rapuh. Namun, keadaan ini masih mampu dihadapi secara peribadi. Tetapi, simpati melihat kawan-kawan yang dilayan sejuk. Apakah ingin memberi sedikit kelegaan memandangkan keadaan cuaca yang merampas kelembapan dan menyerang sel kulit? Seperti manusia biasa, apabila biologikal badan tidak berada pada tahap optimumnya, hilang keinginan untuk berjenaka atau berkata-kata. Mohon maaf dan harap memahami, terima kasih.
Saturday, January 1, 2011
Happy New Year 2011!
Sudah memasuki dekad baru. Namun, dengan tekad baru? Ya, dipercayai dan diyakini bahawa setiap individu telah menyatakan tekad baru kepada diri masing-masing. Persoalannya, cuma peratusan pencapaian yang boleh dicatatkan dalam tempoh masa setahun ini. Dengan kecekalan yang mantap dan jitu, sebenarnya, tiada masalah untuk merapati walaupun mungkin tidak berjaya merekodkan 100%. Semoga berjaya!
Beberapa hari ini, pemikiran agak khurafat, sedikit terpengaruh dengan cerita makhluk halus Cina yang mungkin benar. Ingin diluahkan bahawa, saya boleh berubah menjadi pontianak jikalau ajal datang menjemput pada saat ini. Hal ini kerana 'nafas tambahan (kegeraman)' terperangkap pada saluran respirasi, yang menjerut leher dan menyesakkan pernafasan normal. Gabungan beberapa insiden yang mengguris hati dan memerlukan pengaturkawalan minda kembali sungguh mendukacitakan. Tambahan, pemakaian topeng seolah-olah wajib untuk mententeramkan hati-hati yang lain demi pengelakan kekokan pada masa hadapan. Penuturan dipesongkan agar sedap didengari walaupun getaran bantahan hati begitu jelas sekali. Pendustaan mengaburi kebenaran. Dan kini kian menjadi ikutan yang dijangka boleh menjadi tabiat sekiranya tiada pemantauan susulan yang serius.
Kubu toleransi dihentam kuat dengan peristiwa 'melupai'. Tidak ganjil jikalau pemikiran melayang tanpa arah mengenangkan kekhilafan yang barangkali tidak disengajakan ini. Ulangan peristiwa yang sama mengajak minda untuk mempertimbangkan soal keikhlasan dalam isu akademik dan setiap undangan bagi aktiviti bersama yang dirancang. Apakah undangan adalah paksaan dan hanya sekadar untuk mengisi kekosongan atau kuota? Apakah ikatan ini hanyalah alat permainan atau alat kawalan anda? Mungkin anda tidak sedari, tetapi tuan punya badan ini mengerti. Apabila sudut pesongan terus meningkat, maka persoalan kepentingan ikatan ini menjadi pertaruhan dan dibicarakan secara monolog. Kerana nila 'beberapa titik' (setitik), rosak susu sebelanga. Disedari bukan semua telur itu rosak. Tetapi apabila diletak bersama, hilang keinginan untuk memilih dan berada dalam kelompok telur tersebut.
Sesunguhnya, lukisan kita bersama semakin luntur dan pudar. Barangkali ada baiknya jikalau diletakkan jarak selamat antara kita untuk mengelakkan 'ketidaksengajaan' tusukan tepat atau sipi daripada anda.
Tema memasuki tahun baru diwartakan sebagai 'Kesedaran Konsisten'. Menjauhi alam fantasi dan harus SEDAR dalam setiap perkara yang ingin dilakukan. Kurangkan pemakaian topeng pelancungan. Serlahkah kekuatan yang dimiliki, di samping memperbaiki kelemahan yang disedari. Kegembiraan perlu mengisi ruangan tiap-tiap hari. Moga-moga tahun ini lebih bermakna bagi kita semua.
Selamat Tahun Baru!
Sunday, December 19, 2010
"18 Disember 2010".
Pada keseluruhan hari tersebut, keriangan memenuhi ruangan hati. Senyuman terukir dengan mudahnya sepanjang hari selepas mendapat kebenaran untuk merasai suasana di halaman rumah sekali lagi setelah sekian lama merantau meninggalkan tanah besar. Melihat dari perspektif hitungan ilmu hisab, barangkali 3 bulan bukanlah tempoh yang panjang. Namun begitu, dari segi longgokan perasaan yang bertadah di sanubari, sudah sangat lama sebenarnya tempat kelahiran ditinggalkan. Jikalau ditanya, apakah aktiviti yang ingin dilakukan di rumah?, maka ini jawapannya, meraikan perayaan Winter Solstice yang jatuh pada tanggal 22 Disember (setiap tahun). Pada hari tersebut, sajian bebola yang diperbuat daripada tepung pulut tang yuan akan disediakan. Sudah lama sebenarnya, insan ini tidak berpeluang merasai sajian wajib ini pada hari yang datang dengan keunikan ceritanya dan yang penuh dengan maknanya. Menurut sumber maklumat daripada insan mulia yang melahirkan pencoret ruangan ini, jikalau perbandingan ingin dilakukan, perayaan ini adalah lebih besar daripada Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, bagi penulis ini yang mempunyai pengetahuan cetek dalam isu perayaan-perayaan kaum Cina, perkara yang paling penting ialah pertemuan dengan setiap ahli keluarga menjelang musim perayaan. Seterusnya, kualiti pertemuan tersebut harus dijaga dan dijamin. Selain daripada ahli keluarga, peti televisyen juga amat dirindui. Dengan itu, matlamat kedua ialah tontonan cerita-cerita menarik yang bakal dipaparkan menjelang Hari Natal. Sekiranya dahulu begitu terhibur dengannya, maka diharapkan implikasinya tetap serupa walaupun sudah memasuki alam perkembangan manusia yang seterusnya.
Sebentar lagi, bas yang bergerak pada pukul 2 petang akan membawa insan ini kembali ke tanah besar. Selamat bercuti kepada semua. =]
Tuesday, December 14, 2010
Sudah memasuki bulan terakhir tahun 2010. Matahari boleh menampakkan diri 18 kali lagi, secara maksimum. Tinggal lagi satu semester setelah dua lagi semester telah ditamatkan di USM pada tahun ini. Jikalau ingin dihitung tempoh masa yang diluangkan di rumah, tidaklah ia menjangkau satu setengah bulan. Rata-rata di bumi USM si insan kerdil ini bertapak, mencari pengetahuan dan pengalaman, di samping membina persaudaraan melalui persahabatan yang dipandang enteng. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai maklum balas dapat dilaporkan dengan semaian usaha selama ini. Tetapi, ia tertakluk kepada kesesuaian fakta dan kesudian minda untuk berbuat demikian.
Pada pagi Sabtu (11/12/2010) yang lalu, pelan kehidupan tidaklah seperti yang telah dirancang. Kehilangan peluang untuk menawan Taman Perbandaran Pulau Pinang dan melihat kelangsungan Pesta Bunga dan Pesta Dragon Boat Race di lokasi-lokasi yang berdekatan. Puncanya ialah ketidaksatuan minda, badan dan jiwa yang mutlak. Peluang diharapkan masih ada pada masa hadapan.
Keamatan cahaya matlamat utama penambatan diri di sini, yakni untuk menyiapkan bahagian pertama projek tahun akhir, masih kelam. Keputusan yang diperoleh dengan menggunakan mesin polalografi kegunaan umum kurang memuaskan. Pelbagai masalah, iaitu masalah masa, teknikal dan peralatan timbul. Secara formal, dua slot masa sahaja, hari Isnin (waktu petang) dan Jumaat (sehari), yang boleh diisi setiap minggu. Sambungan wayar dengan klip buaya sudah lama dan kurang efisien. Kadang kala, sistem tidak tersambung dengan sempurna dan tiada tindak balas yang dapat dilihat. Tambahan, sejarah tercipta dengan sendirinya apabila pemangkin pada elektrod yang digunakan larut dalam larutan menyebabkan ketidaktepatan pencapaian keputusan. Justeru itu, akhirnya, penggunaan mesin polalografi khas untuk eksperimen kajian pelajar PhD disyorkan oleh penyelia. Maka, semalam, eksperimen telah diulang dan keputusannya telah dihantar kepada penyelia untuk disemak. Menurutnya, mulai minggu depan, mesin tersebut boleh digunakan setiap hari pada waktu pagi. Pengorbanan masa cuti semester di sini diharapkan dapat menguntumkan senyuman pada akhir projek.
Saturday, November 20, 2010
Wednesday, November 10, 2010
Pagi ini saya mencuba nasib untuk menaiki bas ke dewan peperiksaan. Nasib agak baik kerana adanya sebuah bas bertanda laluan merah di tempat menunggu berdekatan Foyer DK U. Maka, saya menaiki bas tersebut setelah pemandu bas menekan butang untuk membuka pintu bas. Tiada penumpang lain di dalam bas tersebut melainkan saya sendiri. Pemandu bas bertanya kepada saya,
"Exam pukul berapa?"
"Pukul 9"
"OK jom..."
Kemudiannya, pemandu bas mula memandu bas mengikut tetapan laluannya. Destinasi terakhir ialah jejantas RST. Namun, alangkah terkesimanya saya apabila dia menurunkan saya betul-betul di hadapan bangunan Dewan Peperiksaan. Saya tidak perlu berjalan dari jejantas RST ke bangunan tersebut yang mengambil masa lebih kurang 2 minit.
"Ada sepuluh minit lagi", katanya apabila saya ingin turun dari bas.
"Terima Kasih". Dengan senyuman lebar dan hati yang girang, saya turun dari bas dan menuju ke dewan peperiksaan.
Secara jujurnya, saya terkejut sedikit dengan situasi ini yang jarang-jarang kali berlaku. Tetapi, saya teruja dengan keramahan yang ditunjukkan. Secara tuntasnya, hati saya riang sahaja hari ini kerana wujudnya sokongan moral tidak langsung ini daripada seorang pemandu bas, lebih-lebih lagi dalam musim peperiksaan akhir semester.
TERIMA KASIH, ENCIK...!!!
Subscribe to:
Posts (Atom)